Muzium yang dibina bagi mengenang sumbangan pengarah tersohor Yasmin At Kong Heng berdepan dengan risiko ditutup akibat tiadanya sokongan kewangan yang kukuh.

Muzium itu yang dirasmikan pada 15 November tahun lalu mengabadikan kenangan dan memorabilia yang ditinggalkan oleh pembikin filem tersohor itu.

Terletak di Ipoh, Yasmin At Kong Heng merupakan ilham ibunya, Inom Yon.


Muzium itu melancarkan satu laman pengumpulan dana 'Start Some Good" bagi mendapatkan orang ramai menyumbang untuk muzium itu terus dibuka.

Setakat ini seramai 124 penyumbang telah menghulurkan hampir USD18,143 dengan meletakkan USD70,000 sebagai sasaran.

Antara penderma termasuk agensi pengiklanan yang cukup sinonim dengan Yasmin iaitu Leo Burnett Malaysia yang menyumbang USD2,500, Leo Burnett Asia Pasifik sebanyak USD3,500, penerbit Amir Muhammad, penerbit muzik Pete Teo dan ramai lagi penyumbang yang enggan nama mereka disiarkan.

BACA: Mengapa perlu dengki pada Yasmin At Kong Heng?

Yasmin Ahmad bukan sahaja pengarah filem tersohor yang dikenali menerusi filem-filem ikonik seperti Sepet dan Muallaf, malah iklan-iklan Petronas sempena perayaan merupakan karya beliau yang telah meraikan kepelbagaian bangsa di Malaysia.

Sumbangan boleh dibuat di laman web Start Some Good dengan sumbangan yang termampu. Sumbangan berkadar USD50, USD120, USD240, USD1180 dan USD2360 akan mendapat memorabilia istimewa.

Inilah masanya untuk anda mengucapkan terima kasih atas legasi hebat yang ditinggalkan oleh Yasmin Ahmad.