Kepakaran ahli fizik terkemuka, Prof Stephen Hawking bukan sekadar menjelaskan persoalan berkenaan sains, malah dalam industri hiburan dengan mengaitkannya dengan ilmu sains yang menjadi kelebihannya.

Hawking menunjukkan sisi kelakarnya apabila melayani satu soalan berkaitan bintang pop sensasi, Zayn Malik.

Ketika ditanya tentang "kesan kosmologi apabila Zayn Malik meninggalkan One Direction dan membuat ramai gadis menangis," beliau menjawab secara sinis: "Nasihat saya kepada gadis-gadis di luar sana, beri perhatian kepada ilmu teori fizik kerana ada kemungkinan anda akan menemui dunia lain di alam semesta ini.

"Dan di dunia itu, Zayn Malik masih anggota One Direction. Malah siapa tahu, di dunia tersebut, anda akan bertemu jodoh dengan Zayn," kata Hawking.

Hawking muncul secara 3D dalam sebuah konvensyen di Sydney Opera House, Australia malam Sabtu lalu.

Profesor terkemuka itu dijemput untuk bercakap tentang misteri alam semesta dan masa depan Bumi.

Dalam jawapannya kepada persoalan-persoalan tersebut, Hawking meminta agar misi ke angkasa lepas diteruskan demi masa depan peradaban manusia.

Kata Hawking, dia percaya manusia tidak boleh terus berharap kepada Bumi semata-mata.