Tutup

Neelofa mengaku buat silap, tiada niat perlekeh undang-undang

Neelofa mengaku buat silap, tiada niat perlekeh undang-undang
Kata Neelofa, tindakannya memuat naik sedutan filem The Lion King di Instagram didorong oleh rasa teruja terhadap filem itu.
SELEPAS dikecam teruk oleh netizen gara-gara tindakannya memuat naik sedutan filem The Lion King di laman sosial Instagram menerusi ruangan Instagram Stories ketika menontonnya di pawagam, artis ternama Neelofa merendah diri mengaku melakukan kesilapan.

Menurut usahawan berjaya itu, tindakan memuat naik sedutan filem antarabangsa itu dilakukan tanpa sengaja kerana didorong oleh rasa teruja untuk menyokong naskhah berkenaan.
"Saya tidak sedar bahawa tindakan itu boleh mencetuskan masalah lain. Justeru, saya mengambil sepenuhnya tanggungjawab terhadap kesilapan yang saya lakukan.

"Saya juga berharap orang lain akan belajar daripada kesilapan ini dan akan lebih berhati-hati pada masa depan," kata pengacara program Meletop itu dalam kenyataan berbahasa Inggeris yang dimuat naik di laman Instagram peribadinya.
Keterujaan Neelofa itu menjadi bahan perdebatan dalam kalangan netizen sehingga ada yang menggesa pengurusan pawagam-pawagam di Malaysia meneliti tindakan artis berkenaan serta mengambil tindakan yang sewajarnya.

Berikutan itu, terdapat dua wakil pawagam yang memberi maklum balas tehadap reaksi netizen dengan berjanji akan mengadakan siasatan terhadap aduan yang dibuat mengenai Neelofa.

Peraturan pawagam di negara ini tidak membenarkan sebarang rakaman dibuat ketika tayangan berlangsung.

Peraturan berkenaan turut dipamerkan di semua pawagam selain kakitangan pawagam akan sentiasa melakukan rondaan bagi memastikan penonton tidak melakukan sebarang bentuk rakaman semasa menonton filem.




 
Sebelum ini, pada April 2018, penyanyi Ara Johari pernah berhadapan dengan isu serupa kerana memuat naik sedutan filem Avengers: Infinity War di ruangan Instagram Stories.

Teruk dikecam netizen, Ara turut mengakui kesilapan yang dilakukan olehnya dan tampil memohon maaf.


Tag: Neelofa mengaku silap, tiada niat perlekeh undang-undang, pengacara, pelakon, usahawan, Meletop, The Lion King



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.