BERSEMPENA majlis pelancaran Projek rintis bagi Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) di Jasin pada Selasa, Astro menawarkan perkhidmatan internet bersama-sama pakej kandungan daripada Astro pada harga sangat menarik menerusi Astro Broadband Bundle.

Menerusi Astro Broadband Bundle, Astro bekerjasama dengan pihak City Broadband dan menawarkan perkhidmatan internet berkelajuan 50Mbps pada harga RM99 sebulan dan 100Mbps pada harga RM129 sebulan.

Menariknya, bayaran yang ditawarkan merangkumi Family Pack Astro yang mempunyai lebih 40 saluran seperti Astro Ria, Astro Prima, Astro Arena, Astro Awani, NatGeo WILD dan juga FOXLife.

Ia ditawarkan khas kepada penduduk Jasin yang tinggal di Kuarters Polis Jasin, Taman Merbau Perdana, Taman Maju dan Felda Kemendor.

BACA: 1,100 rumah di Jasin nikmati internet sepantas negara maju



Bagi pengguna yang berminat, anda boleh membuat pendaftaran bersama pihak Astro dan berpeluang untuk turut menikmati saluran eksklusif terpilih sehingga 31 Januari 2019.

Semua pengguna yang layak dan terpilih untuk mengikuti ujian rintis ini akan tertakluk di bawah kontrak selama 24 bulan yang bermula 1 Februari 2019.

Terdahulu pada Selasa, projek rintis bagi NFCP itu dilancarkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Turut hadir, Exco Komunikasi, Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Melaka, Kerk Chee Yee, Pengerusi TNB Tan Sri Leo Moggie dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan.