PENYANYI era 1980-an, Noorshila Amin telah mengambil tindakan undang-undang dengan membuat laporan polis terhadap Lana Nodin dan Roslan Shah berhubung kenyataan fitnah yang dilemparkan terhadap mereka sekeluarga.

Malah, kata Noorshila pihaknya akan menggunakan saluran undang-undang bagi menyelesaikan kemelut antara mereka dan bersedia untuk berbincang bagi menyelesaikan masalah itu dengan baik.

Noorshila juga tidak meminta ganti rugi atau permohonan maaf daripada individu terbabit sebaliknya meminta agar melakukan perkara yang sama dengan mengangkat sumpah laknat jika yakin berada di pihak yang benar.

"Saya sekeluarga ingin memaklumkan kami tidak menuntut permohonan maaf daripada Lana dan Roslan, rakan peniaga dan artis yang telah menyebarkan fitnah terhadap saya sekeluarga.

"Kami menuntut mereka sama-sama mengangkat sumpah laknat selama tempoh 44 hari supaya membenarkan kata-kata mereka adalah benar dan sekiranya tidak, laknat Allah akan jatuh pada mereka.

"Saya juga merayu kepada Roslan agar berhenti menyebarkan dan menyentuh isu ini atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan reputasi sebagai penyanyi dan peniaga.

"Namun, saya masih terbuka untuk berbincang dan bermaaf-maafan bagi menyelesaikan masalah ini dengan baik," katanya dalam sidang media khas di Hartamas, Kuala Lumpur petang semalam.

Noorshila dan anaknya, Nurrul Admeina Norrizan telah mengangkat sumpah laknat bagi menyangkal fitnah berhubung dakwaan dia menipu wang milik lapan selebriti yang terlibat dalam festival di Brunei pada bulan April lalu.

BACA: "Saya kuis je..." - Noorshila Amin nafi tendang meja, angkat sumpah laknat

Kemelut antara Noorshila dan Lana tercetus apabila kedua-dua selebriti itu dilaporkan bertengkar ketika berada di festival beli-belah di Singapura pada hujung bulan lalu.

Perkara menjadi lebih rumit apabila Roslan Shah bertindak campur tangan dalam perbalahan antara Noorshila dan Lana menerusi siri siaran langsung di Facebook peribadinya.

Teks oleh: Amri Hassan