LUAHAN rasa rindu penyanyi, Nora Ariffin pada arwah suaminya, Johan Nawawi, menerusi akaun Instagram (IG) miliknya buat netizen terharu.

Perkongsianya itu juga telah mendapat 19,276 views sehingga petang tadi dan peminat juga berkongsi rasa sedih dan mengharapkan penyanyi kesayagan ramai itu terus tabah.

"Hari ini 24 September 2018, genap satu tahun lapan bulan suami tercinta Johan Nawawi telah kembali ke rahmatullah.

"Sesungguhnya pemergian Johan telah banyak mengajar saya erti kehidupan, hakikat dan takdir hidup yang sebenarnya.

"Saya tak pernah terfikir dia akan pergi begitu cepat," tulisnya.

Nora mengakui, semasa kehilangan suami tercinta itu, dia belum bersedia.

Kongsinya lagi, dia juga kehilangan seorang ayah sewaktu berumur 15 tahun, di kala remaja yang memerlukan perhatian dan kasih sayang seorang ayah.

Katanya lagi, arwah suaminya pergi sewaktu mereka sedang mengecapi bahagia dan merancang untuk sambutan ulang tahun perkahwinan yang ke-25 tahun.

Namun katanya, kita hanya mampu merancang tetapi bukan kita yang menentukan.

"Saya tiada pilihan, semuanya harus diredah dengan penuh kesabaran, ketabahan dan senyuman untuk menutup segala keperitan.

"Demi anak-anak, saya harus kuat. Saya tidak pernah mengharapkan bantuan sesiapa pun, apatah lagi meraih simpati. Cukuplah Allah bersama saya," tulisnya lagi.

Dia juga tidak peduli pandangan masyarakat kerana mereka tidak berada di tempatnya, dia juga tidak kisah sekiranya ada pihak melemparkan kata-kata negatif terhadap perkongsian video ini.

"Terima kasih buat semua sahabat dan peminat yang sentiasa positif, memahami, sering membantu saya dalam apa keadaan sekalipun. Alhamdulillah, segala puji hanya bagi ALLAH. Johan, sentiasa dihati dan jiwa selamanya. Doakan yang baik-baik untuk saya dan keluarga," tulisnya