Kejayaan Malaysia ke Sukan Olimpik Moscow 1980 sememangnya mengembalikan nostalgia kegemilangan bola sepak tanahair buat bekas pemain skuad kebangsaan, Datuk Santokh Singh dan Bakri Ibni apabila menonton filem, Ola Bola.

103 minit yang cukup istimewa untuk membawa semula dua sosok itu kepada memori 6 April 1980.

Pada Jumaat, mereka menceritakan jerih payah yang dilalui terutama mengharungi krisis antara jurulatih dan pemain sehinggalah mereka menjadi lagenda terkenal.

BACA: 'Ia imbau memori berada di Stadium Merdeka,' Nazir puji filem Ola Bola

BACA: Filem Ola Bola raih lebih RM12 juta dalam tempoh 18 hari!

BACA: 'Bola sepak, satu masa dahulu, dimainkan demi negara' - Rafidah Aziz


Sumber : YouTube
Ketegasan Karl Heinz Weigang

Kalau dapat lihat watak jurulatih Harry dalam filem Ola Bola, watak tersebut insipirasikan oleh jurulatih Malaysia pada ketika itu iaitu Karl Heinz Weigang.

Seorang 'mat saleh' tiba-tiba muncul dan berkelakuan seperi seorang jeneral begitu agresif mengatur strategi bagi askar-askarnya berjuang untuk mendapatkan kemenangan utuh negara.

Menurut Bakri, bukan satu perkara mudah untuk pasukan Malaysia menerima beliau sebagai jurulatih, sehingga berlaku pemberontakan dalam kalangan pemain pada ketika itu.

"Sedikit tindakan yang tidak berapa 'sihat' dalam kalangan pemain kita sebab kejutan budaya. Tiba-tiba kena marah, sebab kita tidak pernah dimarahi.

"Waktu itu, kita rasa seperti jurulatih tidak menghormati rakan sepasukan kita termasuk (Datuk) Mokhar Dahari dan Santokh Singh," katanya ketika ditemui ketika menghadiri malam kebajikan Ola Bola anjuran Eagles FC di TGV KLCC di sini pada Jumaat.

Karl-Heinz Weigang (kanan) pernah menjadi jurulatih bagi pasukan Perak FA, Johor FA dan pasukan kebangsaan. Pada 1980, Karl berjaya membawa Malaysia ke pusingan kelayakan Olimpik dan pada 1998, di bawah kendaliannya, pasukan Perak membawa pulang Piala Malaysia. - Foto BERNAMA
Namun bagi Bakri, Weigang perlu diberi pujian, apabila berjaya memupuk kembali kepercayaan dan persefahaman yang akhirnya membawa kejayaan paling epik dalam sejarah bola sepak Malaysia.

"Kejayaan kita ini, kita mula dengan harapan yang tiada. Namun dasar percaya kepada rakan dan jurulatih, itu menjadi tauladan yang menyatakan kita mesti lawan dulu, jangan mengaku kalah."

Bakri sebagai pemain tengah ketika itu, menyumbangkan satu gol bagi malaysia ketika perlawanan menentang Korea Selatan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur.

Sumber : YouTube
Sukan dan politik perlu dipisahkan

Bagi Santokh, beliau berasa sedikit kesal apabila Malaysia tidak dapat bertanding dalam kejohanan olimpik pada ketika itu.

Lantaran itu beliau berpendapat, politik dan sukan perlu dipisahkan.

"Bagi saya, politik dan sukan perlu dipisahkan. Jika tidak, pembangunan sukan dalam negara kita tidak akan pergi jauh. Sama seperti yang berlaku kepada kami dahulu, kerana politik kami tidak dapat ke Moscow.

Santokh juga membandingkan sikap pemain kebangsaan pada ketika ini dan juga pada zamannya.

Beliau menegaskan, pemain muda pada ketika ini haruslah bermain untuk nama negara, bukan hanya wang semata-mata.

"Bendera Malaysia (di jersi) selalu berada di hati. Jadi mereka perlu bermain dengan bersungguh-sungguh untuk negara yang kita tercintalah. Itu sahaja yang saya boleh beritahu.

"Mereka patut berdisplin, dan berdedikasi, untuk menjadi pemain yang berbakat dan berkaliber."