BIARPUN belum mampu mencatat kutipan membanggakan di negara sendiri, filem One Two Jaga arahan pelakon Namron, menempa satu lagi sejarah apabila meraih pencalonan Grand Prix (Filem Terbaik Asia) melalui kategori New Asian Cinema Competition di 12th Five Flavours Asian Film Festival di Warsaw, Poland.

Menerusi satu kenyataan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), One Two Jaga menyertai sembilan filem terbaik Asia lain yang turut tercalon dalam kategori berkenaan.

Five Flavours Asian Film Festival merupakan festival berprestij yang menjadi platform tayangan dan apresiasi melalui pemilihan juri bagi filem-filem kontemporari berkualiti dari seluruh Asia di Eropah.

BACA: 'Baik aku buat filem lucah lepas ini' - Pengarah filem One Two Jaga

Kejayaan One Two Jaga itu mengikuti jejak beberapa filem tempatan lain yang pernah menembusi festival filem tersebut iaitu Bunohan, Interchange, Songlap, Hanyut dan Jagat.

"Ia satu penghormatan besar kerana ini bukan festival picisan, dan membuktikan masyarakat luar menghargai filem kita," kata Namron seperti yang dipetik dari portal Kosmo!

Menerusi kemas kini status di Twitter, salah seorang pelakon yang juga penerbit One Two Jaga, Bront Palarae, memaklumkan kutipan filem berkenaan setakat ini ialah RM65,000 dengan beberapa pawagam telah pun menghentikan tayangan.


Sebelum ini, One Two Jaga telah singgah ke beberapa festival filem antarabangsa, antaranya New York Asian Film Festival, Shanghai International Film Festival dan Udine Far East Film Festival.

Dibintangi Zahiril Adzim, Dr. Rosdeen Suboh, Amerul Affendi, Along Ezyendy, Iedil Putra, Azman Hassan selain bintang Indonesia, Ario Bayu dan Asmara Abigail, filem ini meneroka sisi gelap berkaitan korupsi dan jenayah serta konflik kemanusiaan.

12th Five Flavours Asian Film Festival di Warsaw, Poland yang akan berlangsung dari 14 -21 November 2018 depan.