SELALU kita dengar 'orang cantik pakai apa pun mesti cantik', namun ada pula ayat kurang manis yang ditulis kepada penyanyi Adibah Noor.

Berkongsi kisah menerusi akaun Twitternya semalam, kata Adibah ayat yang digunakan untuk mempromosikan jenama baju plus size itu menarik perhatiannya.

"'Orang gemok pakai apa pun tak cantik'. Kata si langau di IG ku mempromosi baju plus size.

"Hahaha. Goli ati den," tulisnya yang menyifatkan situasi itu melucukan.



Perkara tersebut mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan pengguna media sosial terutama peminat Adibah.

Bagaimanapun, pemilik akaun kedai Instagram dalam talian tersebut telah memadamkan ayat kurang manis itu daripada entri pelantun lagu Terlalu Istimewa itu.

"Cantik itu sesuatu yang subjektif dan tidak memerlukan persetujuan semua orang," tulis salah seorang pengguna di Twitter.

"Yang penting baik hati, ikhlas dan tak susahkan orang lain kan kak," tambah pengguna lain pula.

"Gemuk ke kurus ke pakai apa pun hati tetap busuk tetap tak cantik juga kan," komen pengikut Adibah yang lain.