SELAIN acara penyampaian anugerah kepada pemenang, anugerah pengiktirafan karyawan filem Hollywood, Oscars pastinya tidak lengkap jika tidak diserikan dengan persembahan artis-artis masyhur.

Sudah menjadi tradisi setiap tahun, Oscars akan mengangkat barisan-barisan artis terbaik melalui persembahan pada malam gilang-gemilang itu.

Secara tidak langsung ia mengikut tema acara itu iaitu lagu asal (original song) yang menjadi runut bunyi kepada filem tercalon.

Ini bermakna, filem bukan sahaja antara kategori yang diangkat dalam pencalonan. Bahkan, Oscars turut memberi pengiktirafan kepada seni karya-karya lagu asal dalam kesemua 24 kategori terlibat.

Bagi edisi ke-92, penganjur The Academy mengumumkan seorang artis muda yang berjaya merangkul lima Anugerah Grammy minggu lalu, bakal membuat persembahan di pentas berprestij itu.

Penyanyi popular lagu ‘Bad Guy’, Billie Eilish akan mempersembahkan secara langsung lagu runut bunyi untuk filem James Bond, No Time To Die.


.


Menurut Oscars, ia dikategorikan sebagai persembahan istimewa.

Selain Billie, penonton juga akan disajikan dengan persembahan oleh bintang muzikal Elton John dan Idina Menzel.

Terbaharu, The Academy turut mengumumkan penyanyi dan penulis lagu, Janelle Monae, juga bakal beraksi pada malam acara itu.


Seperti tahun sebelumnya, penonton disajikan dengan persembahan bintang popular Lady Gaga, gandingan Bradley Cooper menerusi filem muzikal A Star Is Born.

Lagu romantis gabungan dua penyanyi dan pelakon dari Amerika Syarikat itu turut merangkul pingat bagi kategori Lagu Asal Terbaik yang berjudul, Shallow.

Berikut antara lagu asal yang tersenarai dalam pencalonan anugerah serta bakal dipersembahkan secara langsung di pentas ikonik Dolby Theatre, Los Angeles.

1. I Can’t Let You Throw Yourself Away (dari TOY STORY 4)

* Persembahan oleh Randy Newman
* Muzik dan lirik oleh Randy Newman

2. I’m Gonna Love Me Again (dari ROCKETMAN)

* Persembahan dan Muzik oleh Elton John
* Lirik oleh Bernie Taupin

3. I’m Standing With You (dari BREAKTHROUGH)

* Persembahan oleh Chrissy Metz
* Muzik dan lirik oleh Diane Warren

4. Into The Unknown (dari FROZEN II)

* Persembahan oleh Idina Menzel dan AURORA
* Muzik dan lirik oleh Kristen Anderson-Lopez dan Robert Lopez

5. Stand Up (dari HARRIET)

* Persembahan oleh Cynthia Erivo
* Muzik dan lirik oleh Joshuah Brian Campbell dan Cynthia Erivo

.

* Malam kemuncak Oscars 2020 boleh ditonton secara eksklusif di saluran Hello (saluran 110, Astro) serta di saluran Astro Ria (saluran 104) bermula pukul 9 pagi pada 10 Februari 2020.

* Sementara tayangan karpet merah yang dibawakan secara langsung dari Los Angeles, Amerika Syarikat pula akan bermula pukul 7.30 pagi juga di saluran Hello dan Astro Ria.