Perceraian antara pelakon Johnny Depp dan Amber Heard akhirnya dimuktamadkan pada Jumaat, selepas selama beberapa bulan kedengaran dakwaan mengenai keganasan rumah tangga dan ugutan kewangan dari kedua-dua belah pihak.

Dokumen mahkamah yang difailkan di Mahkamah Tinggi Los Angeles pada Jumaat memperincikan pembahagian aset perkahwinan dan perjanjian oleh Depp, 53, untuk membayar sejumlah wang yang diumumkan sebelum ini sebanyak $7 juta kepada Heard, 30, yang katanya akan mendermakannya kepada badan amal.

Heard memfailkan perceraian pada Mei selepas 15 bulan usia perkahwinan mereka, dan beberapa hari kemudian mendapatkan perintah larangan sementara terhadap Depp.

Dia berkata dalam pemfailan mahkamah, Depp menderanya sepanjang perkahwinan, kemuncaknya pada bulan bulan Mei apabila telefon bimbit dilemparkan ke mukanya ketika satu pertengkaran, memecahkan pelbagai barangan lain di apartmennya.

Peguam Depp menafikan dakwaan penderaan itu, mengatakan Heard membuat dakwaan itu bertujuan "cuba meluluskan satu keputusan kewangan yang pra-matang."

Sebagai sebahagian daripada penyelesaian perceraian, Heard membatalkan permintaannya supaya satu perintah sekatan terus dikenakan terhadap Depp.

Dia juga membatalkan saman fitnahnya terhadap rakan Depp, pelawak Doug Stanhope, berhubung artikel yang beliau tulis menuduh pelakon wanita itu memeras ugut dan memanipulasi suaminya.