INDUSTRI hiburan dikejutkan dengan berita duka di hari pertama tahun 2019 dengan berita kematian pelakon Mior Ahmat Zaudi.

Aktor berusia 66 tahun itu menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6 pagi Selasa di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) akibat masalah jantung dan pendarahan dalam otak.

Portal Harian Metro yang memetik kenyataan anak Allahyarham Mior, Mimi berkata, ayahnya dimasukkan ke PPUKM pada Jumaat lalu akibat demam panas.

"Doktor kemudian mengesan ayah mempunyai masalah jantung dan memberikan rawatan rapi.

"Jenazah ayah akan dimandi dan disolatkan di Masjid Nurul Ihsan, Taman Seri Cheras, Batu 9, Cheras Selangor pada tengahari ini. Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Cheras Perdana," katanya.

Allahyarham Mior sepanjang hayatnya banyak berlakon drama televisyen termasuk drama bersiri Spektra dan drama purba Kota Setia terbitan HVD Home Video (M) Sdn Bhd pada pertengahan 1990-an.

Allahyarham juga pernah membintangi filem Momok arahan M Jamil pada 2009.