TERAJU utama siri Netflix 13 Reasons Why, Katherine Langford telah menyertai barisan nama pelakon filem Avengers 4.

Walau bagaimanapun, apakah peranan beliau dalam siri keempat filem adiwira terkenal itu masih belum dapat dipastikan. Pelakon kelahiran Australia berusia 22 tahun itu terkenal dengan wataknya sebagai Hannah Baker dalam siri Netflix 13 Reasons Why yang ditayangkan pada tahun 2017.

Menurut movieweb.com, Langford telahpun selesai menjalani penggambaran adegan-adegan yang melibatkannya.

Berkemungkinan besar, penggambaran yang melibatkan Langford adalah ketika sesi reshoot dan ada juga khabar angin yang mengatakan dia hanya memegang watak kecil.

Dengan nama baharu telah menyertai barisan pelakon Avengers 4, pasti ramai peminat tegar Marvel yang akan cuba membuat andaian ataupun menyelesaikan misteri tentang watak superhero Marvel manakah akan dibawa oleh Langford.

Filem siri Avengers yang keempat ini agak mengagumkan, kerana tidak banyak kebocoran maklumat tentang jalan cerita atau watak mana yang akan kembali dalam filem ini selepas ada beberapa watak yang 'mati' dalam filem ‘Avengers: Infinity War’.

Filem Avengers 4 yang masih belum mendapatkan tajuk khusus, dijadualkan akan ditayangkan pada 3 Mei 2019.