Kepada semua peminat siri TV Friends, kami ada berita baik untuk anda!

Antara siri komedi TV terbesar, Friends akan kembali ke kaca TV selepas 12 tahun, lapor media antarabangsa.

Pelakon siri Friends akan bersatu kembali di NBC bagi satu program khas selama dua jam, umum NBC ketika lawatan akhbar Television Critics Association Rabu lalu di Pasadena, California.

Program khas itu adalah satu penghormatan kepada lagenda pengarah komedi Friends, James Burrows yang juga telah mengarah beberapa siri TV ikonik seperti Taxi, The Bob Newhart Show, dan Cheers.

Burrows telah mengarah 15 episod siri Friends dan baru-baru ini, beliau mencatat kejayaan yang penting dalam kerjayanya iaitu mengarah episod yang ke-1,000.

Antara pelakon yang akan menyertai ialah Jennifer Aniston, Courtney Cox, Lisa Kudrow, Matt LeBlanc, Matthew Perry dan David Schwimmer.