SEORANG pelakon yang pernah membintangi siri TV popular "Veronica Mars" dan "Malcolm in the Middle" dijumpai mati di Los Angeles, Amerika Syarikat, hari ini.

Brad Bufanda, 34 tahun, dipercayai membunuh diri dengan terjun dari sebuah bangunan di bandar tersebut, lapor TMZ.

Mayat Brad ditemukan di tepi jalan oleh seorang gelandangan.

Sekeping nota bunuh diri dijumpai pada mayat Bufanda dengan nama ibu bapa mendiang tertulis pada nota berserta ucapan terima kasih kepada mereka yang memberi makna dalam hidupnya.

Brad yang memegang watak Felix Toombs dalam "Veronica Mars" juga pernah tampil dalam beberapa siri seperti "CSI: Miami", "Malcolm in the Middle", "Boston Public" dan juga "Days of our Lives".

Sementara itu, pengurus mendiang, Kirsten Solem dilaporkan terkejut dengan insiden yang menimpa Brad.

Menurut Kirsten, Brad tidak pernah mengambil sebarang jenis dadah atau menunjukkan sebarang tanda mengalami gangguan emosi.