Pelakon Hollywood, Angelina Jolie menggesa pihak berkuasa Myanmar untuk menunjukkan usaha yang lebih ikhlas bagi menamatkan keganasan di Wilayah Rakhine.

Katanya, ia penting bagi menghentikan penderitaan warga Muslim Rohingya supaya mereka tidak perlu terus melarikan diri ke Bangladesh demi keselamatan.

"Tanggungjawab memastikan hak Rohingya untuk kembali ke Rakhine bergantung sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan kerajaan Myanmar.

"Jadi, saya harap mereka sedar bahawa isu ini berlaku dan mereka perlu menunjukkan komitmen yang tulen bagi menamatkan keganasan serta pemindahan secara paksa.

"Ini demi memperbaiki kualiti hidup komuniti di Wilayah Rakhine, terutamanya Rohingya," katanya kepada media pada Selasa selepas membuat lawatan di Kem Kutupalong.

Beliau pada masa sama turut memuji Bangladesh yang sudi menerima kehadiran pelarian Rohingya.

"Bangladesh ialah negara yang kaya dengan kebudayaan serta sumber sejarah. Tetapi, dengan sumber yang terhad, mereka tidak boleh dibiarkan bersendirian dalam mengendalikan pelarian Rohingya.

"Jadi, saya menggesa masyarakat antarabangsa untuk terus memberikan bantuan kemanusiaan yang diperlukan bagi memenuhi keperluan pelarian serta masyarakat tempatan yang sentiasa memberi sokongan dalam membantu mereka," katanya lagi.




Sejak Ogos 2017, Bangladesh menjadi destinasi utama pelarian Rohingya berlindung akibat tindakan keganasan yang dikenakan ke atas mereka.

Sehingga kini, lebih 700,000 daripada mereka berada di Bangladesh.

Angelina Jolie berada di Bangladesh dalam siri lawatan tiga hari sebelum melancarkan rayuan global dalam menyediakan dana lebih ASD920 juta sebagai bantuan sokongan untuk keperluan pelarian.