Pelbagai inisiatif dilakukan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi membantu penerbit filem tempatan menyemarakkan industri perfileman.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata penubuhan Content Malaysia Pitching Centre (CMPC) pada 2015 misalnya, bertujuan menyediakan bantuan dana kepada penggiat industri filem tempatan.

"Filem yang mengandungi unsur perpaduan, patriotisme dan semangat cintakan negara sentiasa diberi keutamaan dalam pemberian bantuan dana melalui CMPC," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka) yang bertanyakan mengenai bantuan kewangan dan insentif yang diberikan kepada penerbit filem tempatan yang berjaya meningkatkan perpaduan antara kaum dan cintakan negara.

Katanya, kementerian melalui Finas juga telah mewujudkan Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) yang merupakan pemberian rebat kepada kutipan tiket di pawagam.

"Berdasarkan data daripada Kutipan Skim Wajib Tayang sehingga Mei tahun ini, filem 'OlaBola' telah mendapat kutipan sebanyak RM15.8 juta, dan jika permohonan dibuat dan menepati syarat ITFC, filem berkenaan dijangka menerima bayaran maksimum sebanyak RM500,000," katanya.

Selain itu, FINAS juga turut menganjurkan Festival Filem Malaysia (FFM) bagi mengiktiraf karya tempatan yang bermutu dan berkualiti.

"Karya yang dipertandingkan ini akan dinilai juri yang mempunyai kepakaran masing-masing untuk diberikan pengiktirafan selayaknya dalam FFM," katanya.