Nama Syed Haron Syed Ahmad mungkin tidak begitu dikenali di kalangan rakyat Malaysia. Namun hasil kreativiti beliau telah menghasilkan sebuah lagu yang cukup popular dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa di Malaysia.

Lagu "Warisan" nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, hasil ciptaan beliau, berkumandang setiap tahun, khususnya ketika sambutan bulan kemerdekaan.

Syed Haron meninggal dunia di rumahnya di Shah Alam pada awal pagi Isnin akibat serangan jantung.

Bagi generasi baharu, enam fakta ini mungkin boleh membantu anda menghargai bakat seni istimewa yang dimiliki beliau.

1. Berasal dari Johor Bahru dan merupakan graduan Universiti Malaya.

2. Mula aktif dalam penciptaan lirik dan lagu pada tahun 1974.

3. Turut terbabit dalam penerbitan album pasangan duet kanak-kanak Anuar dan Ellina.

4. Selain Warisan, antara lagu lain ciptaan Syed Haron yang popular adalah Hujan dan Pulang di Hari Raya.

5. Warisan dicipta Allahyarham pada tahun 1980, namun dimuatkan dalam album Allahyarham Sudirman bertajuk Abadi, yang diterbitkan pada tahun 1982.

6. Telah menghasilkan kira-kira 200 judul lagu dan dinyanyikan ramai bintang ternama seperti Datuk Sharifah Aini, kumpulan Freedom dan Norkumalasari.