Tutup

'Pemotongan usus dilakukan, kira-kira 90 sentimeter' - Ibu risau, Shazroul dirawat di ICU

'Pemotongan usus dilakukan, kira-kira 90 sentimeter' - Ibu risau, Shazroul dirawat di ICU
Shazroul kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur (HKL).
BINTANG kelahiran program Akademi Fantasia musim keempat, Shazroul Fazlie berada dalam keadaan kritikal akibat jangkitan kuman pada usus.

Menurut ibunya, Noraini Elias, Shazroul jatuh sakit secara tiba-tiba pada 10 September lalu, sehari sebelum ulang tahun kelahirannya yang ke-34.
“Anak saya dalam keadaan kritikal dan kini dirawat di ICU HKL. Dia sudah melalui dua pembedahan, masing-masing pada 10 September lalu dan hari ini. Doktor turut melakukan pemotongan usus yang bocor, sepanjang kira-kira 90 sentimeter.

“Doktor memaklumkan, kaedah rawatan dilakukan cukup berisiko dan mereka berharap, badannya kuat untuk melalui proses pembedahan ini dari masa ke semasa. Saya berharap semua mendoakan yang terbaik untuk anak saya,” katanya seperti yang dilapor BH Online.
Menurut Noraini, berat badan Shazroul juga menyaksikan penurunan secara drastik, daripada 61 kilogram (kg) kepada 45 kg.

“Allah sentiasa menguji hamba-Nya. Begitu juga dengan anak saya yang mendapat perkhabaran duka apabila dimaklumkan mengenai hal ini. Lebih menyedihkan, ia terjadi sebelum sambutan hari lahirnya.

“Saya bagaimanapun percaya, dia anak yang kuat,” katanya.

Shazroul kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sebelum itu, perkhabaran berkenaan turut dikongsi beberapa temannya, termasuk rakan seperjuangan dalam program terbabit, Natasha Nordin.

Shazroul pernah menghasilkan album berjudul Cuma, selain berduet dengan Adzrin Azhar menerusi lagu Pencuri Hati.

Sumber: BH Online


Tag: Kuala Lumpur, ICU, Akademi Fantasia, potong usus, Shazroul Fazlie, masuk hospital, jangkitan kuman, terlantar di hospital, bintang AF



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.