Jangan jadikan syarat penapisan filem di Malaysia sebagai alasan penghasilan filem konvensional.

Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Kamil Othman berkata imaginasi seorang pembikin filem tidak perlu dikongkong dengan syarat penapisan yang ditetapkan.

Beliau berkata, sejarah membuktikan antara filem antarabangsa yang malar segar dihasilkan sekitar tahun 1950-an juga terikat dengan undang-undang penapisan filem ketika itu yang turut melarang pelbagai aksi melampau.

"Saya tengok filem-filem Barat yang masih dianggap filem terbaik adalah pada tahun 50-an dan 60-an yang mana di Eropah sendiri undang-undang filem mereka juga sangat ketat.

“Seperti di Amerika Syarikat sendiri, mereka terikat dengan undang-undang katolik Kristian tetapi filem terbaik tetap dihasil pada tahun berkenaan,” katanya.

Tambahnya, sudah tiba masanya pembikin filem negara berfikir di luar kotak dan berusaha untuk menghasilkan karya hebat tanpa dibelenggu isu penapisan filem.

“Pembikin filem Malaysia sangat bertuah kerana kerajaan memperuntukkan dana bagi membuat filem-filem mereka. Tidak seperti negara-negara Asia lain seperti Thailand, Filipina dan sebagainya.

“Walaupun begitu, mereka di sana tetap dapat menghasilkan filem yang asli, tidak cuba meniru Hollywood malah membawa budaya ke dalam filem sendiri sehingga budaya itu dieksport ke negara lain.

“Kita bukan tak ada budaya itu, kita ada nasi lemak untuk ditunjukkan, kita ada keunikan hari raya yang masih dunia belum tahu. Jadi jangan terhadkan kreativiti kita sebagai pembikin filem,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran program SEA Director Focus musim ketiga.

Program itu akan menampilkan enam pengarah hebat Asia Tenggara Seperti Riri Reza, Lav Dias dan ramai lagi.

Kamil juga akan membuat penampilan dalam setiap episod sebagai pengacara jemputan khas.