Penerbit filem Crazy Rich Asians, Ivannhoe Pictures, anak syarikat SK Global, berjaya mendapatkan hak penerbitan filem untuk buku "Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World."

Pengumuman rasmi itu dibuat John Penotti selaku Presiden SK Global.

Bersama menerbitkan filem itu ialah pelakon ternama kelahiran tempatan Tan Sri Michelle Yeoh yang akan memeterai perjanjian baharu dengan syarikat tersebut.

Buku yang ditulis Tom Wright dan Bradley Hope itu baru sahaja memasuki senarai buku paling laris New York Times dan dipasarkan di Malaysia sejak 18 September lalu.

"Billion Dollar Whale" merupakan usaha penyiasatan dua wartawan Wall Street Journal yang mendedahkan bagaimana wang milik syarikat 1MDB yang didakwa diseleweng dalam satu skandal pengubahan wang haram terbesar dunia.

Dalam kes yang masih dalam siasatan pihak berkuasa Malaysia, Singapura, Switzerland dan Amerika Syarikat itu, dikatakan sejumlah AS$5 bilion telah dicuri oleh Jho Low, seorang rakyat Malaysia yang juga perancang utama penyelewengan tersebut.

Jho Low masih diburu pihak berkuasa di seluruh dunia.

“Tom dan Bradley telah mengarang sebuah cerita dengan gaya penceritaan yang sangat mengujakan. Ia usaha terbaik dalam kewartawanan penyiasatan dengan menggabungkan naratif dan watak yang terlibat dalam skandal tersebut sehingga menjadikan pengalaman membaca buku tersebut sangat mendebarkan.

"Hasilnya sangat membanggakan kerana buku tersebut mendedahkan lebih daripada apa yang kita sangkakan selama ini,” kata Penotti.

Sebelum ini, SK Global telah menerbitkan filem Crazy Rich Asians bersama Warner Bros yang telah mengutip lebih AS$200 juta di pawagam seluruh dunia.