Penghibur tersohor Britain, Cilla Black meninggal dunia di kediamannya di Estepona di sini, pada Ahad.

Sehingga kini, punca kematian masih belum dapat dikenal pasti.

Seorang jurucakap polis Sepanyol mengesahkan punca kematian belum dikenal pasti kerana bedah siasat masih lagi dilakukan oleh pihak hospital.

“Kami masih lagi menunggu keputusan bedah siasat jadi buat masa ini. Kematian Cilla diklasifikasikan sebagai kematian semulajadi," lapor sumber polis memetik laporan portal BBC.

Penyanyi yang sinonim dengan rancangan TV termasuk Blind Date dan Surprise Surprise itu menjadi pujaan selepas bakat beliau diasah oleh kumpulan lagenda, The Beatles.

Di usia remajanya, Black pernah bekerja di Carven Club, sebuah kelab tersohor di England. Di situ, Cilla berkesempatan bertemu dengan The Beatles yang dilaporkan meminati bakat beliau.

Bakat Cilla sebagai pengacara TV juga terserlah selepas diberi peluang menjadi pengacara bagi beberapa rancangan di saluran BBC TV.

Selepas berita kematian Cilla mula disiarkan, beberapa selebriti dan teman rapatnya seperti Paul McCartney, Mark Wright dan Holly Johnson berkongsi kesedihan mereka serta menzahirkan ucapan takziah di laman Twitter.