Barisan pelakon yang dianggap sangat cemerlang adalah penyumbang utama kemenangan besar filem Bunohan yang diperoleh menerusi Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25).

Pengarah filem itu, Dain Said turut menyatakan, pengiktirafan di tanah air sendiri memberi makna yang besar bagi dirinya berbanding sanjungan dari luar negara.

Filem Bunohan mendominasi FFM dengan membawa pulang lapan trofi termasuk Filem Terbaik menewaskan filem Songlap, Ombak Rindu, Sam dan 29 Februari.

“Orang selalu kata kepada saya supaya jangan bikin filem seumpama ini kerana cabarannya yang sangat besar, namun dengan barisan pelakon yang hebat dan berbakat, kami berjaya menghasilkannya dengan jayanya,” kata Said.

Bunohan yang ditayangkan di beberapa Festival Filem Antarabangsa juga pernah memenangi anugerah Metpac di Festival Filem Golden horse di Taiwan.

Selain itu, filem ini juga disenaraikan sebagai penghasilan filem terbaik menerusi Academy Awards atau “Oscar” ke-85 pada pusingan awal.

Bunohan berjaya memenangi filem dan pengarah terbaik, Cerita Asal Terbaik, Lakon Layar Tebaik dan Pelakon Lelaki Terbaik bagi Faizal Hussein.

Filem ini turut dijayakan Pekin Ibrahim, Zahiril Adzim, Wan Hanafi Su, Amirul Affendi, Namron dan Bront Palarae.

Sebelum itu, pada malam pembukaan FFM ke-25 pada Rabu lalu, filem Bunohan telah membawa pulang tiga trofi terdahulu iaitu Penata Seni, Penata Bunyi dan Skor Muzik Terbaik.