Pengurus konsert jelajah kumpulan U2 meninggal dunia pada Rabu di Los Angeles, di mana kumpulan itu beraksi untuk beberapa siri konsert.

Dennis Sheehan, berusia lewat 60an, disahkan meninggal dunia di hotel penginapannya di West Hollywood. TMZ melaporkan pasukan paramedik dipanggil untuk pihak hotel untuk merawat seorang pelanggannya yang mengalami serangan jantung.

“Kami kehilangan seorang ahli keluarga, dan kami masih sedang cuba menerima kenyataan ini,” kata vokalis kumpulan tersebut, Bono dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh ejen seranta kumpulan rock itu.

“Beliau seorang lagenda bukan sahaja dalam industri muzik, tetapi juga dalam kumpulan kami. Beliau tiada penggantinya.”

Arthur Fohel, ketua syarikat yang menguruskan konsert jelajah U2 menambah, “Kami amat sedih untuk memaklumkan bahawa Sheehan telah meninggal dunia.

“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga beliau,”kata Fohel, sambil memberitahu Sheehan merupakan sahabat yang sangat baik.

Sheehan telah bekerjasama dengan U2 selama lebih 30 tahun, dan pernah juga bekerja dengan ramai lagenda rock seperti Led Zeppelin, Iggy Pop, Patti Smith dan Lou Reed, lapor TMZ.

Selasa lalu, U2 memulakan siri 5 konsert jelajah mereka di Los Angeles. Konsert jelajah yang dinamakan "Innocence and Experience" itu bermula bulan lalu di Vancouver, di mana gitaris mereka terjatuh dari pentas.