PENJELAJAH Grand Slam pertama Malaysia, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin atau lebih dikenali sebagai Qobin berkongsi definisi kejayaan berdasarkan pandangannya secara peribadi.

Menurut Qobin, setiap individu mempunyai kebolehan yang mampu membuahkan kejayaan yang berbeza berbanding orang lain.

"Setiap orang mempunyai kebolehan dan kejayaan yang berlainan, jadi kita harus berasa bangga dengan pencapaian diri kita.

"Bagi saya, saya suka mengembara dan mencuba pelbagai perkara baru, pengalaman mendaki gunung Everest, menjalani latihan di Mont Blanc, Perancis, berbasikal dan bermacam lagi dapat dikongsikan dengan masyarakat Malaysia agar dapat menjadi satu motivasi buat mereka.

"Secara jujurnya, saya berasa puas hati dengan apa yang saya lakukan, mengembara dan membawa nama Malaysia benar-benar menjadi inspirasi utama untuk saya terus bersemangat," ujarnya.

Qobin ditemui di majlis pelancaran Sambutan Hari Kebangsaan oleh Astro menerusi kempen 'Malaysiaku'.

Buat julung kalinya, kempen ini mengangkat kisah-kisah terbaik Malaysia, Qobin turut diberi penghormatan sebagai rakyat yang telah mengharumkan nama negara.

Pada tahun 2004, Qobin dan rakannya Ahmad Reduan Rozali telah berjaya menawan Gunung Everest dengan ketinggian 8848 meter dari paras laut dan kejayaan itu menobatkan diri mereka sebagai pendaki Gunung Everest termuda di Asia Tenggara.

Jangan lupa saksikan program Dari Setinggan Ke Grand Slam pada 31 Ogos ini jam 8 malam di saluran Astro Prima dan Maya HD.

Program tersebut berkisahkan tentang Qobin sebagai penjelajah Grand Slam yang berjaya menakluki tujuh kemuncak tertinggi di dunia berserta kutub utara dan kutub selatan.