PENYANYI kumpulan dari Britain Take That, Gary Barlow mengesahkan dia bakal tampil dalam sekuel filem Star Wars seterusnya, Star Wars: The Last Jedi.

Perkara ini disahkan oleh penyanyi itu sendiri dalam sebuah rancangan TV - Lorraine ITV pada Isnin.

"Saya bukan tentera stormtrooper dalam filem itu tetapi saya mempunyai watak lain untuk dilakonkan,” kata penyanyi itu ketika satu temu bual bersama Ross King.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan sebarang butiran mengenai watak yang dilakonkannya.

Bersama Take That, Barlow diingati dengan lagu seperti How Deep is Your Love, dan Back for Good.

Diarahkan oleh Rian Johnson, sekuel terbaharu Star Wars ini akan membawa kembali pelakon yang pernah membintangi filem terdahulu, ‘The Force Awakens’ seperti Daisy Ridley, John Boyega dan Carrie Fisher.

Bukan itu sahaja, ia turut menampilkan pelakon baharu seperti Benicio Del Toro dan Laura Dern.

Barlow bukan satu-satunya bintang yang dikatakan akan muncul sebagai bintang undangan dalam sekuel itu. Turut disebut-sebut adalah Putera William, Putera Harry, Tom Hardy dan pengarah Rogue One, Gareth Edwards.

'Star Wars: The Last Jedi' akan ditayangkan di Malaysia pada 14 Disember tahun ini.