PENYANYI Country, Kylie Rae Harris meninggal dunia dalam satu kemalangan membabitkan tiga kenderaan di utara New Mexico, Amerika Syarikat.

Kylie Rae dilapor dalam perjalanan ke Taos untuk persembahan tahunan di pesta muzik Big Barn Dance Music Festival tengah hari Khamis waktu tempatan.

Menurut polis Taos County, kemalangan turut meragut nyawa seorang lagi pemandu berusia 16 tahun, manakala seorang lagi pemandu terselamat.

Pihak berkuasa bagaimanapun tidak mendedahkan nama mangsa yang terlibat.

Tambah polis, kemalangan dipercayai berpunca daripada penyalahgunaan alkohol namun tidak memberikan maklumat terperinci kejadian.

Keluarga dan rakan Kylie Rae dilapor amat bersedih atas kejadian yang menimpa penyanyi berusia 30 tahun itu.