PENYANYI popular antarabangsa, Miley Cyrus merakamkan rasa terujanya apabila diketemukan dengan idolanya, bekas calon presiden dan wanita nombor satu Amerika Syarikat, Hillary Clinton, dalam rancangan bual bicara Tonight Show, baru-baru ini.

Miley yang menjadi tetamu rancangan bual bicara itu diberi kesempatan untuk bertemu dengan Hillary dalam salah satu segmen rancangan berkenaan yang dipanggil sebagai “Thank-You-Notes”.

Memetik laporan portal USA Today, Miley merakamkan ucapan terima kasih kepada idolanya atas perjuangan beliau di negara itu.

"Terima kasih Hillary kerana selalu menjadi kekuatan dan harapan buat jutaan wanita muda.

"Anda telah menjadi contoh dan inspirasi buat kami. Anda juga telah menjadi suara kami pada waktu-waktu yang tertentu," kata Miley.

Miley yang kelihatan 'terkedu' dan mengesat air matanya turut berkongsi gambar pertemuan istimewa itu di laman Instagramnya.

Dalam pada itu, Miley kini sedang sibuk mempromosikan album terbaharunya, Younger Now yang dilancarkan pada 29 September lalu.