Siri Semarak Bangsawan kembali membuka tirai bagi tahun 2016 dengan pementasan Teater Bangsawan Mulan oleh Persatuan Alumni Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Ahad.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Pengembangan Seni Budaya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Shahrizal Abdan, ia adalah pementasan pertama daripada tujuh naskhah bangsawan yang bakal ditunjukkan pada tahun ini.

Katanya, ia bertujuan memberikan ruang kepada penggiat seni dan menyemarakkan dunia teater.

"Mereka dapat berkarya, dapat berlakon, mungkin kepada mereka yang tidak berlakon boleh menguruskan set atau prop.

"Teater bangsawan ini berlainan daripada teater moden. Dengan teater moden, penglibatan 10 atau 15 orang sudah mencukupi untuk membuat pementasan.

"Tetapi teater bangsawan memerlukan lebih ramai ahli produksi seperti teater Mulan ini sahaja sudah perlukan hampir 100 orang," kata Shahrizal ketika ditemui Astro AWANI.

Semarak Bangsawan ini adalah anjuran JKKN dan DBKL yang menggunakan medium pementasan Teater Bangsawan sebagai proses pemuliharaan dan pemeliharaan produk seni dan budaya.

Sementara itu, menurut Pengarah Teater, Shariful Akma Abdullah, persembahan teater Mulan ini bertujuan memberi mesej tentang kepentingan peranan wanita bukan sahaja dalam institusi keluarga, tetapi juga untuk negara.

"Mesej yang paling tepat dan dapat dapat dirasai oleh penonoton adalah mengangkat martabat wanita itu sendiri.

"Selain itu, ia melihat bagaimana kita melayani seorang wanita dalam satu komuniti dan bagaimana mereka pula harus setaraf dan setanding dengan kaum lelaki.

"Kita juga perlu berikan mereka satu pendedaktan atau nilai yang baik untuk mereka bekerja, mereka perlu dimartabatkan," kata Shariful selepas pementasan teater bangsawan Mulan pada Ahad.

Persembahan yang berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat, menampilkan gabungan bekas pelajar ASWARA dan pelajar ASWARA, antaranya Lunia Ara Syieda, Hairi Safwan dan Dewi Liana Seriestha.