PELAKON, pelawak dan pengacara, Shuib (Sepahtu) tidak menafikan penglibatan dalam cabaran 'Bee Man' sebagai salah satu rangka pemasaran untuk perniagaannya Bee Factory.

Bagaimanapun jelas Shuib, selebihnya dia bersetuju untuk membiarkan seluruh tubuh dihurungi lebih 100, 000 ekor lebah kerana mahu mengatasi ketakutan dan melihat apa lagi yang boleh dilakukan.

"Memandangkan saya kini terlibat dengan perniagaan madu dan madu itu dihasilkan oleh lebah, jadi saya mahu berada sehampir mungkin dengan lebah untuk melihat sifat dan 'perangai' lebah.

"Selain itu, saya juga mahu mengatasi ketakutan dan lihat lagi yang boleh saya buat. Sebelum ini saya pernah menyertai program Fear Factor, tapi saya rasa ia belum cukup mencabar saya kerana ia dikawal dengan kawalan keselamatan dan sebagainya," katanya kepada Sinar Harian.

Foto Instagram Shuib

Isnin lalu, Shuib telah melakar nama dalam The Malaysia Book of Records apabila berjaya menjadi Most Numbers of Bees On Human Body (Male).

Mengakui percubaan yang dilakukan itu adalah antara hidup dan mati, Shuib berkata, dia sudah membuat kajian dan mendapat ilmu yang secukupnya sebelum membuat cabaran itu.

"Saya ada lihat video-video mengenai cabaran Bee Man di dalam dan luar negara. Tidak dinafikan ada yang berjaya dan tidak kurang juga yang mati kerana disengat,

"Tapi Alhamdulillah daripada lebih 100, 000 ekor lebah, saya hanya disengat lebih kurang 20 ekor sahaja.

"Itupun bukan kerana saya melanggar peraturan iaitu tidak boleh banyak bergerak, tapi kerana lebah itu sendiri berada dalam keadaan tidak selesa atau stress akibat berhimpit semasa sendiri.

"Sebenarnya sebelum membuat cabaran ini, saya terlebih dahulu merasai sakit sengatan di lengan kiri dan kanan saya agar apabila tiba pada hari cabaran saya tidak terkejut apabila disengat.

"Lagipun saya dah diingatkan berkali-kali untuk tidak bergerak walau disengat. Bayangkan kalau terbersin pun sudah merisikokan saya untuk ke ICU (Unit Rawatan Rapi) kerana lebah ini adalah koloni, kalau seekor terancam, ia akan menghantar signal pada lebah lain untuk menyengat saya," jelasnya.

Selain Shuib, pelakon Pablo Amirul turut mencipta rekod yang sama apabila mereka berdua berjaya meletakkan 340,000 ekor di badan.

Cabaran tersebut merupakan anjuran Madu Tiga Sdn Bhd yang telah diadakan di Taman Botanikal, Ayer Keroh, Melaka.