Permintaan pelakon Brad Pitt untuk menutup butiran dokumen mahkamah dalam sebuah perbicaraan kes perceraian dan tuntutan hak penjagaan anak yang melibatkan pelakon Angelina Jolie telah ditolak oleh hakim Los Angeles pada Rabu.

Hakim Mahkamah Tinggi Los Angeles, Richard Burdge Jr telah menolak permintaan Brad Pitt sewaktu sesi pendengaran, jelas seorang jurucakap wanita.

Penutupan butiran dokumen mahkamah lazimnya dimohon untuk mengelakkan perincian kes dapat diakses oleh umum sewaktu perbicaraan berlangsung.

Pitt dan Jolie bagaimanapun tidak menghadiri sesi pendengaran tersebut.

Burdge telah menetapkan untuk tidak membenarkan penutupan butiran keseluruhan kes namun permintaan Pitt itu akan dipertimbangkan bagi sesetengah dokumen, memandangkan keenam-enam anak-anak beliau adalah dibawah umur dan menjadi tumpuan umum.

“Pihak mahkamah memahami hak privasi kanak-kanak bawah umur dan akan membuat keputusan mengikut apa yang terbaik untuk mereka semua,” jelas Burdge.

Wakil Jolie walau bagaimanapun tidak memberikan maklum balas terhadap panggilan telefon dan e-mel dari Reuters yang meminta komen, dan wakil Pitt berkata, pelakon tersebut tidak mahu memberikan komen tentang isu tersebut.

Jolie, 41, dan Pitt, 52, atau lebih dikenali sebagai 'Brangelina' telah bersama sejak 2005 dan telah berkahwin selama dua tahun sebelum perpisahan mengejut mereka pada September yang mendapat liputan meluas oleh media.

Jolie telah memfailkan perceraian atas alasan ketidaksefahaman yang tidak boleh dirunding selepas sebuah insiden dalam pesawat peribadi, yang mana Pitt dilaporkan telah menunjukkan sikap baran di hadapan anak-anak mereka.

Jolie telah membuat keputusan tersebut 'demi kesejahteraan keluarga' dan memohon hak penjagaan penuh terhadap anak-anak mereka. Pasangan tersebut mempunyai tiga orang anak angkat iaitu Maddox, Pax dan Zahara dan tiga anak kandung, Shiloh Nouvel dan kembar Knox Leon dan Vivienne Marcheline yang berumur antara 8 dan 15 tahun.

Insiden bulan lepas telah diselesaikan oleh Bahagian Perkhidmatan Keluarga dan Kanak Kanak Los Angeles dan Brad Pitt telah memfailkan hak penjagaan anak bersama terhadap Jolie.