PENYANYI Wany Hasrita menjelaskan perubahan fesyen yang ditampilkan olehnya menerusi poster promosi Anugerah Juara Lagu 32 (AJL 32) adalah kerana mengikut tema.

Wany atau nama sebenarnya, Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 27, bertanding menerusi lagu Menahan Rindu di pentas AJL 32 yang bertemakan Fesyen dan Muzik.

"Saya akui, ramai yang menegur fesyen saya selepas poster tersebut dikeluarkan. Ada yang berkata penampilan saya sudah berubah, ada yang memuji, ada juga yang memberikan komen negatif.

"Saya hanya mengikut tema AJL 32 dan busana yang saya sarungkan pun tidak keterlaluan, masih sopan dan menutup aurat.

"Bagi saya, sudah tiba masanya saya lebih menjaga penampilan dan bergaya mengikut kesesuaian majlis. Namun begitu, jika tiada sebarang acara, saya masih Wany yang anda semua kenali.

"Saya lebih gemar bergaya dengan jeans dan t-shirt serta menggayakan tudung secara ringkas jika tiada sebarang acara yang perlu dihadiri," kata Wany kepada Astro Gempak.

Mengakui menerima komen negatif selepas memuat naik poster berkenaan di laman Instagram miliknya, Wany tidak mahu terlalu memikirkan mengenai perkara tersebut.

"Komen yang negatif itu ada. Saya tidak mahu membacanya dan memadamkan komen tersebut. Jika ia melampayu, saya hanya menyekat mereka.

"Saya mahu kekal positif menjelang AJL 32. Daripada memikirkan mengenai perkara yang tidak sepatutnya, lebih baik saya berlatih dengan lebih baik untuk persembahan," katanya lagi

AJL 32 bakal berlangsung pada 11 Februari 2018 di Axiata Arena, Bukit Jalil dan bakal dihoskan oleh Alif Satar bersama Sherry Alhadad.