Sempena sambutan Pesta Kaamatan dan Gawai, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) melancarkan sebuah filem web, Renai, yang mengetengahkan kekayaan budaya dalam perayaan pesta menuai tersebut.

Menurut satu kenyataan rasmi Petronas, filem web yang menjalani rakaman di salah sebuah hutan di Sarawak dan juga di Gunung Kinabalu, Sabah dinamakan sempena watak utamanya, seorang kanak-kanak perempuan bernama, Renai.

Renai mengisahkan seorang anak yang menghargai perjuangan dan pengorbanan yang dibuat oleh ibu bapanya yang bekerja keras untuk memastikan masa depan yang lebih cerah untuknya.

Kisah inspirasi itu dikatakan mempamerkan ritual sebenar sambutan Pesta Kaamatan dan Gawai, yang diraikan untuk menghargai hasil kerja yang dilaburkan setiap tahun bagi hasil tuaian yang lebih baik.

Pengurus Besar, Bahagian Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Zahariah Abd Rahman berkata, Petronas berusaha untuk memupuk perpaduan sosial dalam kalangan rakyat Malaysia menerusi komunikasi perayaan kami, sejak dua dekad lalu.

“Dengan filem web terbaharu kami, kami bukan sahaja berharap untuk meningkatkan kefahaman tentang kedua-dua pesta menuai itu, tetapi juga menyampaikan kepentingan tradisi ini serta perayaan-perayaan lain kepada rakyat Malaysia,” kata Zahariah.

Tambahnya, Petronas mencetuskan inspirasi daripada setiap rakyat Malaysia kerana setiap seorang daripada rakyat negara ini mempunyai cerita yang menarik untuk diberitahu.

"Kisah Renai mencerminkan kepelbagaian negara kita sebagai wadah tumpuan budaya, dan perpaduan sosial di kalangan rakyat Malaysia," katanya.

Penonton dapat menonton filem web itu bermula dari 26 Mei di saluran rasmi Petronas, www.petronasofficial.com, manakala iklan filem berdurasi 30 saat boleh disaksikan di televisyen.

Menurut Petronas, selain daripada filem web, pelbagai aktiviti yang menarik turut akan berlangsung sepanjang perayaan pesta Kaamatan dan Gawai.

Seorang pemenang bertuah daripada pertandingan 'Hitz.fm Kaamatan & Gawai Experience with Petronas' akan diberi peluang untuk menyelami budaya masyarakat di Sabah dan Sarawak bersama-sama dengan tiga orang ahli keluarga atau rakan-rakan.

Petronas berharap lawatan selama empat hari itu akan memberi pemenang satu pengalaman yang luar biasa serta kefahaman yang mendalam tentang sambutan pesta Kaamatan dan Gawai.

Perayaan Pesta Kaamatan diraikan pada 30 dan 31 Mei sebagai tanda kesyukuran ke atas hasil tuaian yang melimpah, sekali gus mendoakan hasil tuaian lebuh baik pada tahun hadapan.

Sementara itu, Hari Gawai yang diraikan pada 1 Jun merupakan upacara penghormatan kepada leluhur bagi menandakan akan berakhirnya musim menuai dan menyambut esok hari yang dilimpahi kebaikan.