Bekas ‘Inspirer’ program AF 2013, Melly Goeslaw mengakui kini lebih yakin dan tenang selepas mengambil keputusan berhijab walaupun pada mulanya berasa agak malu dan takut sekiranya mendapat persepsi negatif umum.

Menurut Melly atau nama sebenarnya Mellyana Goeslaw Hoed, dia memasang niat untuk berhijab kira-kira 3 tahun yang lalu untuk berketerampilan muslimah. Namun keyakinannya masih belum kuat dan belum terasa di hatinya ingin berbuat demikian.

“Saya benar-benar yakin untuk ‘berkerudung’ pada 3 bulan yang lalu setelah pulang dari umrah. Ketika tibanya di Indonesia, hati saya berkata sudah tiba masanya untuk berimej sebegini dan yakin kepada takdir Allah,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Lagu Tema drama ‘Cinta Dan Ibadah’ di ibu negara.

Jelas Melly lagi, suaminya Anto Hoed memberi sokongan penuh dan bersyukur dengan keputusannya untuk berhijab. Malah penyanyi kelahiran Bandung ini menjelaskan dengan imej muslimah ini dia akan tampil lebih bersederhana dan berhati-hati dengan pergaulannya.

Dalam pada itu, Melly turut tidak menolak karya muziknya akan lebih ke arah kerohanian dan keislaman terutama dalam penghasilan lirik lagu.

“Muzik ‘dance’ akan saya tinggalkan, bait-bait lagu yang lebih harmoni dan islamik lebih diberi penekanan bersesuaian dengan imej saya ini,” ujarnya lagi.

Perkembangan lain, Melly dalam proses mengumpul ‘material’ baru untuk hasilkan album terbarunya. Perbincangan bersama tenaga kerja Melly sedang diteruskan agar mendapat karya yang baik bersesuaian dengan imejnya. -- Astro Gempak