Teater Raja Lawak yang pernah jadi fenomena di negara ini 20 tahun lalu mula dipentaskan malam ini.

Ia dipentaskan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jalan Raja Laut di sini sehingga 25 Januari ini.

Teater ini diterbitkan bersama oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena).

"ITBM memilih Raja Lawak kerana tertarik dengan kekuatan karya dan jalan ceritanya yang mengisahkan situasi realiti masa kini walaupun telah ditulis lebih dua dekad lalu,'' kata Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, Mohd Khair Ngadiron dalam buku cenderamata persembahan.

Raja Lawak diarahkan oleh Zakaria Ariffin, yang juga merupakan penulis skripnya.

Ia mengisahkan cerita pelawak era bangsawan, Osman Bombay yang berdepan cabaran melalui hari-hari terakhir ketika mana orang ramai sudah lagi tidak meminati cara dan gaya lawak slapstick.

Biarpun ada pelawak baru, Husin Tak Bai yang sangat meminatinya, Osman Bombay jugs dicabar dengan kemunculan pelawak M.G Ramli. Selebihnya, dia berdepan cabaran selera hiburan semasa iaitu muzik rock.

Raja Lawak yang naik panggung semula ini mengembalikan barisan pelakon utama yang hampir sama memerankan watak-watak yang mereka pegang 20 tahun lalu, kecuali Sabri Yunus yang digantikan oleh Abon dan Tiara Jacquelina yang digantikan oleh Eliza Mustafa.

Jalil Hamid kembali memegang watak sebagai Osman Bombay, Imuda sebagai M.G Ramli dan Rasdi Daud sebagai Promoter.

Tiket-tiket berharga RM20, RM30, RM40 dan RM50 boleh dibeli di www.ticket2u.biz atau di Auditorium DBKL.