VOKALIS kumpulan Slam, Zamani mengakui ramai pihak yang bertanyakan mengenai keputusannya untuk menyertai Gegar Vaganza 5 (GV5).

Mempunyai jawapan tersendiri, Zamani mahu keluar dari zon selesa.

"Saya percaya dan yakin GV5 mampu menyerlahkan kebolehan saya sebagai penyanyi. Saya akui, ramai yang bertanya, kenapa saya masuk GV5...

"Jawapannya adalah kerana saya tak mahu berada di tempat yang sama. Saya mahu mencabar diri sendiri dan mahu keluar dari zon selesa.

"Pertandingan seperti GV5 sudah pastinya ada cabaran setiap minggu, terutamanya ketika diberi tugasan untuk menyanyikan lagu penyanyi lain.

"Saya bakal menampilkan sisi berbeza diri saya apabila menyertai GV5. Saya bakal menyanyikan lagu orang lain dan ia menjadi satu perkara yang menarik kerana selama ini saya sering menyanyikan lagu sendiri," katanya.

Gegar Vaganza musim kelima akan bersiaran selama lapan minggu bermula Ahad, 30 September, jam 9 malam secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Ia turut disiarkan secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123) serta boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan perkhidmatan “on demand” untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Nabil Ahmad dan Jihan Muse pula masih menggalas tanggungjawab sebagai pengacara.

GV5 masih menampilkan Datuk Ramli MS sebagai juri tetap dan Datuk Khadijah Ibrahim kembali ke kerusi tersebut selepas setahun berehat.

Juara GV5 ini bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi manakala RM50,000 untuk naib juara.

Pemenang tempat ketiga bakal mendapat RM30,000 manakala pemenang tempat keempat, kelima dan keenam pula masing-masing bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 beserta trofi.

Layari www.gegarvaganza.com.my untuk segala informasi lanjut mengenai GV5.