Pelakon terkenal antarabangsa, Rami Malek mendedahkan berfikir panjang sebelum bersetuju membawakan watak jahat dalam filem terbaharu James Bond.

Dalam satu temubual khas bersama Daily Mirror, pelakon dari Mesir itu berkata beliau bimbang watak jahat yang akan dimainkan itu akan dikaitkan dengan agama dan idelogi negaranya.

Oleh itu, beliau telah menyuarakan kebimbangannya dengan pengarah Cary Fukunaga sebelum menandatangani kontrak projek tersebut.

"Ia adalah watak yang hebat dan saya sangat teruja," kata Malek.

"Tetapi ada satu perkara yang saya berbincang dengan Cary sebelum menerimanya.

"Saya berkata, 'Kita tidak boleh mengkaitkan watak itu dengan sebarang keganasan yang mencerminkan ideologi atau agama'.

"Itu bukan sesuatu yang saya mahu. Jika itu sebabnya saya menjadi pilihan, maka saya tidak akan terima," ulas pelakon 38 tahun itu.

Malek sebelum ini memenangi anugerah Oscar bagi lakonannya sebagai penyanyi kumpulan Queen, Freddie Mercury, dalam filem Bohemian Rhapsody tahun lalu.

Filem yang masih belum diberi tajuk itu dan cuma dikenali sebagai "Bond 25" menjadi projek kelima Daniel Craig sebagai ejen rahsia Britain paling terkenal dan memaparkan aksi di Jamaica, kata penerbit.