AIDILFITRI kali ini membawa debaran buat aktor berbakat besar, Remy Ishak dan pelakon yang sedang meningkat naik, Puteri Aishah.

Ini kerana, kedua pelakon ini menghitung waktu untuk menantikan reaksi peminat dan penonton terhadap filem terbaharu mereka, 'Pulang', yang dijangka menemui penonton pada 26 Julai depan.

Bercerita mengenai penglibatan di dalam filem arahan Khabir Bhatia ini, Remy Ishak berkata, dia meletakkan harapan yang cukup tinggi terhadap kejayaan filem ini.

"Saya sangat berdebar menanti reaksi peminat terhadap hasil filem ini nanti.

"Sejujurnya saya sedar, tiada lagi mana-mana filem yang boleh dikategorikan sebagai box-office dan untuk Pulang, saya lihat ia mempunyai sinematografi yang baik, jalan cerita yang menarik dan saya harap penonton boleh terima dan seterusnya membuatkan Pulang tersenarai sebagai salah satu filem box-office.

"Malah bagi saya, keseluruhan team produksi sudah membuat yang terbaik sejak awal pembikinan pada 2016, jadi kini giliran penonton untuk membantu filem ini," katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya mengenai gandingannya, figura berusia 36 tahun itu berkata, dia melihat Puteri Aishah sebagai orang baru yang bercita-cita besar.

"Dia sangat komited dengan kerja dia dan Khabir sendiri yang memilih dia untuk terlibat dalam filem ini dan saya percaya, pilihan Khabir tidak salah," ujarnya.

Bagi gadis berusia 23 tahun ini pula, sama seperti Remy, dia juga berdebar menanti reaksi penonton terhadap filem ini.

“Sejujurnya ketika terpilih membintangi filem ini, saya tidak mengenali pengarah, Khabir Bhatia. Bila mereka memuji karya Khabir sebelum ini, barulah saya menyedari siapa beliau.

“Berpeluang bergandingan dengan Remy juga satu pengalaman yang cukup berharga buat saya. Malah, saya memang memberi komitmen 100 peratus terhadap pembikinan cerita ini dan sentiasa terbawa-bawa karakter saya ketika penggambaran Pulang,” ujarnya.

Korban cuti raya

Dalam pada itu, berkongsi mengenai sambutan hari raya Aidilfitri, pemilik nama sebenar Puteri Aishah Sulaiman ini berkata, dia pulang ke Port Dickson, Negeri Sembilan seperti kebiasaannya.

Katanya, ketika mula-mula terlibat di dalam industri seni, kebanyakan orang yang berjumpanya meminta untuk mengambil gambar.

"Perkara yang paling seronok ketika hari raya bagi saya adalah dapat memakan rendang ayam masakan nenek dan membuat persiapan raya di mana kami masih lagi membakar sendiri lemang.

"Tapi saya tak buat persiapan berlebih-lebihan kerana cuti raya pun tak lama.

"Selepas ini saya akan sibuk dengan penggambaran drama Terima Aku Seadanya dan juga promosi filem Pulang," jelasnya.

Begitu juga dengan anak kelahiran Masjid Tanah, Melaka ini yang sanggup mengorbankan cuti rayanya untuk membantu promosi filem Pulang yang sudah bermula.

"Memandangkan saya lelaki, jadi persiapan raya pun tak buat beriya.

"Bagi saya bila hari raya, apa yang penting saya dapat spend lebih masa dengan keluarga.

"Tapi memandangkan rangka promosi filem Pulang sudah bermula, saya tidak kisah untuk kembali bekerja bagi membantu promosi Pulang," katanya yang lebih gemar meluangkan masa melayani anak buah ketika bercuti.