Pembukaan penuh gilang gemilang disaksikan 81,000 penonton di Stadium Luzhniki dan kira-kira enam juta di seluruh dunia.

Piala Dunia 2018 Rusia membuka tirainya, dan penyanyi Britain, Robbie Williams menyemarakkan keterujaan segenap lapisan masyarakat dengan persembahan menghiburkan sebelum pasukan tuan rumah memulakan saingan menentang Arab Saudi.

Sebelum stadium gamat dengan lima jaringan pasukan Rusia membenam Saudi, ada detik yang mungkin tidak disaksikan penonton di stadium tetapi kamera siaran langsung jelas memaparkan Williams menunjukkan jari tengahnya.

Sebenarnya pemilihan penyanyi berusia 44 tahun itu untuk membuat persembahan pembukaan Piala Dunia tidak menggembirakan beberapa pihak, terutamanya khalayak Britain dan Rusia.

Williams dikecam kerana lagunya 'Party Like A Russian' dianggap menyindir golongan oligarki negara itu, sementara sebahagian orang England tidak suka Williams menyerikan majlis di negara dipimpin Vladimir Putin – yang dituduh kejam terhadap rakyatnya juga polisi yang menekan negara lain.

Bagaimanapun ada juga yang melihat sisi positif pemilihan Williams itu, dengan mengatakan bahawa ia satu kejayaan England di Piala Dunia selepas kali terakhir pada 1966.

Mengenakan sut cetakan grafik harimau bintang berwarna merah dan kemeja hitam, persembahan Williams turut diiringi penyanyi soprano Rusia, Aida Garifullina.

'Showmanship' Williams memang tidak dapat disangkal, dengan mempersembahkan lagu-lagu hitsnya seperti Angels, Let Me Entertain You dan Rock DJ.

Malah sebelum melayangkan jari tengahnya kepada kamera, Williams didengar menukar sebaris lirik lagu Rock DJ dari asalnya "/Every night/Pimpin' ain't easy" kepada "Most of them fleeced me/I did this for free."

Sungguhpun dilihat kurang sopan sesetengah masyarakat dunia, begitulah Robbie Williams. Nakal dan menghiburkan dalam setiap persembahannya.

Mungkin tanda jari tengah dari bintang pop itu sebagai isyarat kepada pengkritiknya.