TIGA ikon antarabangsa Robbie Williams, Ronaldo & Aida Gariffullina akan mengamatkan suasana sebelum aksi sepak mula Rusia menentang Arab Saudi pada temasya Piala Dunia 2018.

Penyanyi Robbie Williams akan menghiburkan penyokong bersama dengan bintang soprano Rusia, Aida Gariffullina.

Artis berusia 44 tahun itu dalam satu kenyataan meluahkan rasa teruja kerana berpeluang menjadi sebahagian daripada sejarah temasya berprestij berkenaan.

"Saya amat gembira dan teruja kembali ke Rusia untuk melakukan persembahan unik.

"Saya melakukan banyak perkara dalam karier saya dan membuat persembahan di Piala Dunia merupakan mimpi saya sejak zaman kanak-kanak lagi," katanya.

Format acara pembukaan Piala Dunia kali ini sedikit berbeza berbanding edisi sebelumnya.

Kali ini, upacara pembukaan ini akan memberi tumpuan kepada persembahan muzik dan akan bermula setengah jam sebelum aksi sepak mula yang dijadualkan pada pukul 6 petang waktu tempatan.

Bekas penyerang Brazil, Ronaldo yang dikenali sebagai 'O Fenomeno' juga akan mengambil bahagian daripada upacara berkenaan. - Sumber: mStar Online