Roh watak Pak Awang semacam meresap dalam tubuh pelakon Wan Hanafi Su, itulah pandangan pengarah Liew Seng Tat mengenai pelakon tersebut dalam filem terbarunya, Lelaki Harapan Dunia.

Memegang peranan utama sebagai Pak Awang, pelakon itu berjaya mewujudkan keserasian di antara pelakon lain seperti Azhan Rani dan Roslan Salleh.

Beranggapan ia satu tanggungjawab yang besar, pelakon yang dikenali menerusi filem Bunohan itu mengiktiraf skrip yang ditulis memiliki pelbagai lapisan makna.


Salah satu adegan ikonik dalam filem ini adalah sewaktu orang kampung mengangkat sebuah rumah untuk dialihkan.

Menurut pengarah, ekspresi wajah pelakon sewaktu penggambaran adegan tersebut sudah cukup untuk menggambarkan bagaimana beratnya rumah yang diperbuat daripada kayu itu.

"Pada satu ketika, mereka telah lupa yang mereka sedang berlakon. Ia seolah-olah telah menjadikan proses angkat rumah itu seperti misi hidup mereka sendiri," ulas Seng Tat.


Diarahkan oleh Liew Seng Tat, filem itu dibintangi Wan Hanafi Su, Soffi Jikan, Harun Salim Bachik, Jalil Hamid dan Azhan Rani.

Ia berlatar sebuah kampung yang terjadi kekacauan akibat salah faham di antara penduduk kampung yang menyangka rumah terbiar yang dalam perancangan dipindahkan dari hutan ke kampung untuk Pak Awang telah dihuni “hantu”.

Pak Awang cuba menyakinkan penduduk kampung agar tidak mempercayai perkara tahyul, tetapi tiada siapa yang ingin mendengar. Benarkah "hantu" itu "Orang Minyak"?

Lelaki Harapan Dunia telah ditayangkan di festival filem antarabangsa antaranya di Locarno, Toronto, Nara, Vancouver dan Busan.

Setelah menjelajah ke sirkit festival filem antarabangsa, filem Lelaki Harapan Dunia bakal ditayangkan di Malaysia mulai 27 November depan.