Pelakon tanah air, Anzalna Nasir kini berhadapan dengan kritikan kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak sensitif ekoran pembabitan adik beliau, Afifah Nasir dalam kontroversi antara seorang penyanyi kelahiran Singapura dan isterinya.

Afifah didakwa menjadi orang ketiga dalam kehidupan rumahtangga pasangan itu.

Semalam, Afifah menutup ruangan komen di akaun Instagramnya selepas ruangan itu dipenuhi dengan komen netizen yang rata-ratanya menghentam pembabitannya dengan lelaki berstatus suami orang.

Walaupun Afifah menutup ruangan komennya, kecaman tidak terhenti di situ. Peminat dunia hiburan kemudian melahirkan pelbagai reaksi di akaun Instagram kakaknya, Anzalna.

Anzalna kemudian membela tindakan adiknya dengan membalas komen kecaman salah seorang pengguna media sosial.

"Kadang-kadang kita faham perempuan yang baru bersalin, lain sikit perangainya, bak kata orang meroyan.

"Tapi itu kata orang tua. Jangan salahkan saya. Semoga dapat selesaikan dengan maju jaya,” komen pelakon berusia 29 tahun itu.

Komen itu bagaimanapun meningkatkan lagi kemarahan peminatnya.

Mereka mengatakan bahawa penggunaan perkataan 'meroyan' terhadap seorang wanita yang baru bersalin sungguh memalukan.