UNIK dan tersendiri! Itulah yang boleh digambarkan kepada Wings Motor Gang Society (WMGS) yang menjadikan tanjak sebagai simbolik memartabatkan budaya Melayu dalam kelab permotoran tersebut.

Presiden WMGS, Datuk Awie atau Ahmad Azhar Othman berkata, tanjak dan baju Melayu cekak musang merupakan identiti kelab tersebut seiring dengan misi mereka, yang mahu mengukuhkan dan menguatkan jati diri serta identiti bikers Melayu dalam aktiviti permotoran.

Ditanya samada beliau risau jika identiti WMGS dilabel pelik, Awie menegaskan perkara tersebut tidak pernah menjadi kegusarannya.

Terima kasih @officialhlive . #Repost @officialhlive with @get_repost ・・・ Hlive kini berada di Majlis Pelancaran Wings Motor Gang Society yang diilhamkan oleh Dato @awieofficial . Hos lokasi @aliffarhan_jr

A post shared by Wings Motor Gang Society (@wingsmotorgangsociety) on


“Salah ke pakai tanjak dengan baju Melayu naik motor? Lagipun kami tidak menyalahi undang-undang jalan raya.

“Setiap konvoi yang kami lakukan, ada polis trafik bersama dan kami menanggalkan helmet serta bertanjak mengikut jarak yang ditetapkan dengan kebenaran pihak berkuasa.

“Lagi pula, kami mengikut spek yang telah ditetapkan undang-undang jalan raya serta tidak mengabaikan faktor keselamatan,” katanya yang menekankan tiga prinsip utama kelabnya iaitu silaturrahim, ekonomi dan kebajikan.

Menarik mengenai WMGS, kelab ini hanya dianggotai oleh penunggang Bumiputera, tiada perbezaan pangkat, jauh sekali elemen politik.



"Buang jauh-jauh rasa negatif atau rasisme kerana tujuan kita hanya mahu memartabatkan budaya dan semangat Melayu, itu sahaja,” ujarnya.

Awie ditemui ketika Majlis Pelancaran Ulang Tahun 465 Hari Wings Motor Gang Society yang berlangsung meriah dalam suasana penuh adat tradisional Melayu di Tadom Hill, Resort, Banting, pada Sabtu lalu.

Seramai 600 tetamu memeriahkan majlis bersama 100 ahli kelab WMGS dari Brunei, Thailand, Singapura dan seluruh negara.

Anggota Wings iaitu Awie, Black dan Eddie turut lengkap lengkap berbaju Melayu cekak musang, berjaket hitam dan bertengkolok songket bagi menunjukkan identiti Melayu kelab permotoran tersebut.

Kepada yang berminat untuk menyertai WMGS dan mempunyai motosikal berkuasa tinggi 700cc ke atas, yuran pendaftaran adalah sebanyak RM550 merangkumi yuran tahunan pertama termasuk 'Colors' dan 'Vest'.

Yuran tahunan untuk ahli ialah RM180 dan pelbgai keistimewaan bakal diperolehi ahli WMGS dengan kad keahlian yang menyediakan pelbagai kelebihan seperti diskaun alat ganti motosikal, bantuan kerosakan motosikal, diskaun di kedai makan terpilih dan banyak lagi.

Maklumat lanjut mengenai keahlian boleh lawati laman sosial rasmi Facebook dan Instagram Wings Motor Gang Society.