Saleem kecil hati, rasa terpinggir

Saleem kecil hati, rasa terpinggir
Menurut Saleem, beliau amat terkilan dengan tindakan sesetengah pihak yang meminggirkannya sedang beliau juga anak Terengganu. - Gambar fail
BESUT: Penyanyi Saleem meluahkan kekecewaan kerana tidak dijemput membuat persembahan di Ekspo Terengganu 2018 yang berlangsung di Komplek Sukan Negeri, Gong Badak pada 25 Februari hingga 3 Mac lalu.

Penyanyi yang berusia 56 tahun dan sinonim dengan lagu Suci Dalam Debu itu berkecil hati kerana penganjur menjemput ramai penyanyi anak Terengganu lain namun tidak dirinya.

Menurutnya, beliau amat terkilan dengan tindakan sesetengah pihak yang meminggirkannya sedang beliau juga anak Terengganu.

“Aku nak tanya kenapa aku tidak dipanggil? Aku pun anak jati Terengganu sedangkan artis yang berasal dari Terengganu lain mereka panggil,” katanya.

Saleem meluahkan apa yang terbuku dalam dirinya sejak lebih sebulan lalu ketika ditemui selepas menghadiri jemputan sempena Hari Guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Puteri, di sini pagi tadi.