Hujung minggu lalu berlangsungnya satu sidang akhbar yang dikemudi oleh waris-waris allahyarham A.R Tompel berhubung intepretasi imej ayahanda mereka dalam telefilem Saloma yang disiarkan oleh pihak Astro mulai 28hb Ogos 2014. Filem itu ditulis dan diterbitkan oleh syarikat produksi, Kus Semangat Aktor.

Agenda yang diutarakan oleh mereka adalah mengenai hipotesis ataupun intepretasi yang dilakukan, dan betapa usaha pihak yang terbabit itu bercanggah dengan etika yang harus diutamakan sebagai pengkarya seni.

Seniman Allahyarham A.R Tompel merupakan aktor dan pengarah yang dikenali oleh kebanyakan rakyat Malaysia. Malah, karakter beliau yang terkenal dengan nada humor itu merupakan salah satu nilai utama yang membawa nada segar dan masih lagi mempunyai impak di dalam filem industri tempatan.

Tetapi bagaimana pula dengan paparan imej beliau di sebalik tabir, dan sebagai penulis yang dipertanggungjawabkan untuk melakar watak beliau ke dalam wayang gambar, apakah sarana dan etika yang harus diberi perhatian bagi menjayakan watak tersebut, tanpa wujudnya percanggahan yang mampu membawa kepada konfrontasi yang tidak diingini?

Adlin Aman Ramli, mewakili pihak pewaris menegaskan akan konflik yang wujud semasa adanya perancangan tentang penulisan skrip tersebut. Bagi pihak mereka, etika untuk meminta kebenaran , ataupun usaha untuk mengambil pandangan dari pihak pewaris sebagai rujukan adalah cara yang betul dan menggambarkan integriti yang elok dari pihak penerbit.

Walaupun telefilem tersebut merupakan kisah Biduanita Negara Saloma, tidak dapat dinafikan bahawa watak AR Tompel, pada bahagian pertama telefilem tersebut, telah dilihat sebagai antagonis utama yang bertanggungjawab untuk menyusahkan hidup Saloma. Disebabkan itu, pihak pewaris melihat imej ayah mereka dieksploit oleh pihak penyiaran iaitu Astro, atas sebab-sebab komersial.

Jadi pihak kami ingin menyuarakan beberapa persoalan, adakah isu sidang akhbar yang telah diadakan ini, berpaksikan sentimen dan emosi semata-mata? Di mana melalui budaya kita, paparan imej yang negatif, tidak langsung dapat dilakukan kerana dilihat sebagai percubaan untuk melakukan fitnah yang penuh bias, prejudis dan tidak bermoral?

Ketepatan watak-watak di dalam filem

Mereka menekankan istilah 'biopic' dan menyatakan bahawa filem itu tidak langsung mempunyai kebenaran walaupun sedikit pun. Tetapi bukankah realiti yang dihidupkan semula pastinya tidak mempunyai anggaran yang tepat? Bukankah naratif sejarah itu sendiri tidak pernah mutlak? Bukankah sejarah merupakan akumulasi data-data yang dikumpul, dan hipotesis dihasilkan berdasarkan data tersebut?

Seperti filem Soekarno, watak presiden itu sendiri digambarkan sebagai seorang lelaki yang kelihatan sebagai seorang buaya darat, dan jelingan watak presiden itu menimbulkan rasa jengkel kepada pihak penonton, kerana presiden yang pertama itu, pada akhirnya – hanya seorang lelaki biasa, tiada beza dari aspek keinginan nafsunya. Ekoran daripada tayangan filem itu, wujudnya bantahan daripada pihak pewaris Soekarno.

Kebebasan premis berkarya

Artikel ini tidak ingin menyentuh tentang siapa yang patut dipersalahkan, atau adakah konflik yang wujud ini disebabkan oleh salah faham. Artikel ini hanya ingin menyentuh tentang premis berkarya, dan bagaimana premis kebebasan berkarya itu tidak harus diambil mudah, dan dengan bimbingan moral setiap penggiat seni – setiap karya itu haruslah bersandarkan prinsip hormat-menghormati di antara para penggiat di dalam industri yang sedia ada.

Dari segi persoalan etika, ianya secara logik, paparan imej sebegitu boleh sahaja disanggah tanpa tuntutan daripada peguam, kerana karya sebegitu berdiri di atas dasar kreativiti penerbit, melalui kebolehan teknikal mampu menarik pihak awam untuk terus menonton dan berjaya menangkap perhatian mereka.

Dari pandangan pihak Astro pula, syarikat korporat yang menyiarkan telefilem itu, mereka melihatnya sebagai nilai komersial semata-mata, yang dapat menaikkan jumlah tontonan program yang telah sedia ada. Dan mungkin sahaja, budaya hormat-menghormati tidak lagi dipandang tinggi di kala ini, di mana keuntungan berada di tatanan yang paling tinggi dan paling penting. Etika hanyalah berdasarkan undang-undang yang wujud di atas kertas, dan tidak lagi memikirkan masalah peribadi atau masalah fitnah dan prejudis yang bakal berlaku.

Seperti yang diutarakan oleh pihak pewaris, imej AR Tompel seolah-olah dikambing hitamkan, diutamakan dan dipapar sebegitu rupa di dalam bahagian pertama telefilem tersebut. Tetapi bagi pihak penerbit, barangkali itu adalah kebebasan mereka sebagai pengkarya, dan menghasilkan satu karya yang berjaya dari segi komersial, bagi memberi impak kepada protagonis yang utama iaitu Saloma.

Akhir kata, pihak Daily Seni berharap agar wujudnya kerjasama dan percetusan dialog, agar kes-kes seperti ini berjaya dielakkan. Premis kebebasan berkarya itu juga seharusnya bersandarkan etika dan hati naluri yang molek, agar segala jenis salah faham tidak akan berlaku.