MAHKAMAH Rayuan di sini tadi menolak rayuan penyanyi Shila Amzah yang menyaman syarikat akhbar, Utusan Melayu (M) Bhd. (UMMB) berhubung penyiaran artikel didakwa berunsur fitnah dalam akhbar Kosmo!.

Artikel tersebut didakwa antara lain mengaitkan konsert, Shila Amzah - Love Live In Malaysia ditaja oleh syarikat judi terbesar di negara ini.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk David Wong Dak Wah yang bersidang bersama Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim.

Kuorom berkenaan turut memerintahkan Shila dan syarikatnya, Shila Amzah Entertainment Bhd. membayar kos RM20,000 kepada setiap responden.

Panel tersebut berpuas hati bahawa Mahkamah Tinggi betul ketika mencapai dapatannya sewaktu menolak tuntutan saman yang difailkan Shila.