JUARA Big Stage, Sarah Suhairi mengakui ingin menjadi penyanyi wanita pertama yang bertudung di Malaysia menyanyikan lagu rap.

Menerusi single keduanya, Nyawa dan Raga, Sarah menyampaikan bahagian rap itu dengan penuh bertenaga.

Menurut Sarah, dia sudah lama suka menyanyi bahagian rap sesebuah lagu, cuma kebanyakannya lagu yang gemar dinyanyikan adalah lagu antarabangsa.

"Sebenarnya saya suka dengar lagu rap tetapi versi antarabangsa.

"Rap antarabangsa kebanyakannya terdapat perkataan yang kurang senang disebut dan tidak elok didengari.

"Saya membuat keputusan untuk mencuba sendiri serta menjadi wanita hijabi yang pertama memandangkan di Malaysia belum ada lagi," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran single keduanya yang berjudul Nyawa dan Raga.

Pelantun lagu Pedih ini berkata, ia merupakan pengalaman yang menyeronokkan baginya untuk menyanyikan bahagian rap dalam single sendiri.

"Saya selitkan unsur rap dalam single kedua ini serta menjadi langkah permulaan untuk lebih serius dalam masa akan datang.

"Insya-Allah kalau ada rezeki, suatu hari nanti, saya akan mengeluarkan lagu rap sepenuhnya," katanya kepada Gempak.

Single kedua ini diteruskan dengan mengekalkan hasil nukilan Room None dan lirik oleh Iman Imran.

Muzik video rasmi untuk lagu Nyawa dan Raga telah meraih hampir 2 juta tontonan sejak dimuat naik di laman YouTube pada 15 Oktober lalu.