Berita  |  Hiburan

'Saya bukan tamak, ini rezeki' - Ezad Lazim

'Saya bukan tamak, ini rezeki' - Ezad Lazim
Ezad menyifatkan peluang menyertai MLM 2016 sebagai rezeki dan platform mengembangkan bakat dan portfolio. - Gambar fail

PENYANYI Ezad Lazim mengakui tempias popularitinya di program Gegar Vaganza memberi peluang untuk dia mencuba nasib di pentas Maharaja Lawak Mega (MLM) 2016.

Walau bagaimanapun menurut bekas vokalis kumpulan Exist ini, untuk bergelar juara untuk edisi kali ini adalah sesuatu yang mustahil.

“Rasanya mungkin juga tempias populariti di Gegar Vaganza beri jalan untuk saya mencuba nasib di MLM 2016. Tapi untuk bergelar juara mungkin tidak kerana saya masih baru lagi. Mungkin ini adalah masa terbaik untuk saya uji kemampuan beraksi di pentas besar seperti MLM,”jawab Ezad Lazim kepada Astro Gempak.

Jelas Azad lagi, dia sedikit terkejut apabila kumpulan Bos berjaya berjaya melepasi ujian yang telah ditetapkan oleh pihak Astro sekali gus terpilih untuk ke peringkat seterusnya.

“Abu dan Ajo dari kumpulan Mamu pelawa saya untuk sertai mereka dalam MLM. Jadi kami buat video berdurasi dua minit selepas itu hantar ke pihak Astro. Terkejut juga apabila kami bertiga berjaya ke peringkat seterusnya.

“Jadi saya anggap ini satu rezeki buat kami bertiga sebab sebelum ini saya pernah cuba sertai MLM tapi melalui 'Hotseats' tetapi tidak terpilih,” ujar Ezad.

Dalam pada itu, Azad menyangkal sesetengah pihak yang menuduh dia bersikap tamak apabila menerima pelawaan untuk menyertai program Maharaja Lawak Mega 2016.

“Ada orang cakap saya tamak sebab cuba nasib di MLM. Pada saya ini semua rezeki yang Tuhan nak beri sebab kami bertiga mampu untuk ke peringkat seterusnya. Ini saya satu cabang yang baik untuk saya luaskan karier.

“Alhamdulillah 2016 adalah tahun yang cukup baik sebab segala usaha yang  saya lakukan boleh nampak hasilnya,” jelas Ezad mengakhiri perbualan.

Mengangkat tema ‘Perisik’, Maharaja Lawak Mega edisi 2016 menyaksikan pelbagai gabungan pelawak membentuk sebuah kumpulan baharu.  Seramai 15 kumpulan pelawak bakal menyertai cabaran MLM 2016.

Antara nama-nama besar yang bakal mengegarkan MLM 2016 ialah Bocey, Joras, LOL, Bos, Awok dan Bora. Lebih menarik tahun ini turut menyaksikan penyertaan dua peserta solo iaitu Reza Mukmin dan Kavin Jay.

Saksikan program Maharaja Lawak Mega 2016 setiap hari Jumaat, pukul 10 malam bermula 29 Januari di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

 


UNTUK LEBIH BANYAK LAGI BERITA HIBURAN, KLIK DI SINI