USAHAWAN kosmetik terkenal Datuk Seri Aliff Syukri memberitahu dia cemburu dengan kehidupan yang dimiliki usahawan selebriti Vivy Yusof.

Kata Aliff, Vivy merupakan pesaing terdekatnya dalam dunia perniagaan namun dalam masa sama menjadikan wanita itu sebagai salah satu inspirasi untuk berjaya.

"Pesaing terdekat saya sudah tentulah Vivy! Saya cemburu dengan kehidupan dan keluarga yang dia miliki.

"Keluarganya sangat menyokong bisnesnya malah, bapanya Datuk Yusof Jusoh juga idola saya.

"Saya cemburu dia memiliki bapa sehebat itu dan keluarganya sudah membentuk dia sejak dari kecil lagi.

"Saya banyak belajar daripada keluarga mereka dan saya melihat Vivy memiliki pakej yang lengkap, acuan yang bagus dan sudah pastinya hasil yang luar biasa.

"Manakala, saya pula hanya belajar daripada pengalaman semata-mata," katanya kepada Astro Gempak.

Aliff Syukri kini muncul dalam program realiti Oh Abang Kosmetik yang sudah mula bersiaran untuk musim kedua setiap hari Isnin, pukul 9 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Manakala, Vivy menggalas peranan sebagai mentor dan juri tetap rancangan realiti pencarian pereka fesyen tempatan, Gen F yang akan mula bersiaran pada Ahad ini, 11 Mac, pukul 9 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).