Siapa yang tak kenal Azizulhasni Awang. Beliau merupakan jaguh keirin yang menempa nama dalam sukan lumba basikal trek hingga ke persada dunia.

Pahit getir perjalanan atlet yang diberi gelaran The Pocket Rocketman ini bakal diadaptasikan dalam bentuk filem bercorak biografi atau biopik tidak lama lagi.


Menurut Azizul, filem ini diangkat berdasarkan kisah sebenar dan pengalamannya sejak kecil sehingga beliau berjaya meraih gelaran juara dunia.

“Akan ada cerita yang mana saya hampir dilanggar lori semasa mengayuh basikal di kampung, ada juga cerita pada waktu saya tiada duit untuk bertanding dalam acara lumba basikal, ada juga cerita yang mana saya perlu berkorban demi keluarga.


“Memang banyak kisah suka duka yang akan disampaikan. Cerita sebegini kalau diceritakan semula memang boleh buat saya sebak. Tetapi mesej utama filem ini adalah untuk menceritakan saat suka dan duka saya sehingga saya mampu berdiri teguh menjadi juara dunia pada waktu ini.

“Bukan itu sahaja, filem ini juga akan menerapkan tema perpaduan, semangat kesukanan dan ketabahan. Terlalu banyak nilai yang bakal ditayangkan dalam filem ini yang saya harap akan memberi inspirasi buat anak muda,” katanya ketika ditemui Astro AWANI pada sidang media Filem Biopik Azizulhasni Awang di ibu negara, hari ini.

Tambah Azizul, beliau ingin pelakon terkenal Shaheizy Sam untuk menjayakan watak The Pocket Rockeman dalam filem biopik itu.

Turut hadir dalam sidang media itu adalah pengarah filem, Raja Mukhriz dan Naib Canselor UUM, Datuk Seri Mohamed Mustafa Ishak. Sumber: Astro AWANI/Siti Nursyazwani

Filem ini merupakan hasil kerjasama dengan ThreeSixty Management yang merupakan syarikat pengurusan Azizul, UniTalent Sdn Bhd dan Universiti Utara Malaysia.


Filem biopik yang dijangka akan ditayangkan pada pertengahan tahun 2019 ini akan diarahkan oleh yang telah merangkul pelbagai anugerah iaitu Raja Mukhriz dan kos pembikinan filem ini dijangka sebanyak RM 6juta.

Kata Raja Mukhriz, tema yang diangkat adalah semangat nasiolisme Malaysia bagi memupuk semangat patriotik dalam kalangan rakyat negara ini.

Bagi merancakkan pembikinan filem ini, satu program 'Misi mencari Azizuihasni Awang' akan diadakan dan ia merupakan satu usaha produksi dalam mencari bakat bagi membawa watak Azizul.